mutakhir

Salah faham bekas guni diisi barang lain

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Tawau: Peserta projek tanaman padi di Sungai Melayu, Pulau Sebatik, dekat sini, mendakwa tuduhan penyelewengan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) menerusi penyeludupan baja itu ke negara jiran hanya disebabkan salah faham.

Ketua projek, Sahri Sundu, 39, berkata, dakwaan itu mungkin disebabkan orang awam melihat guni baja terbabit dibawa keluar dari daerah ini.

“Sebaliknya guni berkenaan yang bajanya sudah digunakan hanya dikitar semula untuk diisi barangan lain,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, setakat ini tidak ada masalah yang timbul membabitkan kes penyelewengan skim itu memandangkan barangan berkenaan dikawal sepenuhnya oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Katanya, baja subsidi itu juga sukar untuk diseludup kerana Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kalabakan hanya akan melakukan pesanan baja mengikut jumlah yang diluluskan NAFAS.

“Jika dilihat secara dasarnya, baja terbabit mudah diseludup. Namun, hakikatnya kes seperti ini sukar berlaku kerana ia adalah barang yang terkawal.

“Saya sudah 10 tahun mengikuti projek tanaman padi ini, namun masalah (penyeludupan baja ke negara jiran) ini belum pernah lagi berlaku,” katanya.

Pengendali stor baja bersubsidi di Sungai Melayu, Muhammad Khairul Samrih, 20, berkata, kejadian seleweng bekalan baja subsidi tidak berlaku kerana pihaknya merekodkan setiap kemasukan dan penggunaan baja berkenaan.

Katanya, masalah yang sering dihadapi adalah apabila baja subsidi yang dibawa menggunakan bot menuju Sungai Melayu lebih mudah rosak akibat terkena hujan atau air laut.

“Bagaimanapun, semua baja yang rosak juga akan diguna disebabkan peruntukan baja hanya cukup untuk tanah sawah seluas 52 hektar yang diusahakan petani di Sungai Melayu.

“Oleh sebab itu, saya menegaskan bahawa masalah penyeludupan baja subsidi kerajaan ini tidak timbul sama sekali kerana petani diberikan bekalan yang mencukupi mengikut keluasan tanah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, setakat ini pihaknya belum pernah melakukan tangkapan berhubung penyeludupan SBPKP.

Bagaimanapun, pihaknya akan sentiasa menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membanteras kes penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi ke negara jiran.

Disiarkan pada: November 25, 2017 @ 8:55am
d