mutakhir

Popia pelanggan rentung

Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Kediaman ‘keluarga api misteri’ yang baru dihuni dua bulan lalu sekali lagi musnah dalam kebakaran di Kampung Penambang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.11 malam itu menyebabkan lima sekeluarga berkenaan tinggal sehelai sepinggang namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Keluarga terbabit mendakwa kebakaran itu tiada kaitan dengan ‘api misteri’ yang sering menghantui hidup mereka sekeluarga sejak tujuh tahun lalu kerana ketika kejadian, mereka sekeluarga tiada di rumah

Mangsa,Wan Norfatiha Wan Hanafi, 19, berkata, ketika kejadian, dia bersama keluarga keluar makan di bandar Kota Bharu, kira-kira jam 9 malam.

“Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan saudara yang tinggal berdekatan.

“Kami bergegas pulang dan melihat api marak. Kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang termasuk popia yang sudah ditempah pelanggan.

“Setakat ini, saya tidak mengetahui punca sebenar dan percaya ia tiada kaitan dengan ‘api misteri’ kerana tiada sesiapa yang melihatnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, rumah yang didiami itu tapak asal rumah nenek saudaranya yang terbakar pada 2012 dan keluarganya berusaha membaik pulih untuk membinanya menggunakan papan dan zink dua bulan lalu.

“Tak sangka sekali lagi rumah kami musnah selepas kejadian 20 September lalu yang memusnahkan kediaman kami.

“Namun kami bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Zaini Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.14 malam sebelum 21 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, rumah itu 60 peratus terbakar dan api dikawal dalam tempoh 10 minit. Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kediaman keluarga terbabit musnah akibat api misteri dalam kejadian 20 September lalu. Akibatnya, keluarga terbabit seramai lima orang tinggal sehelai sepinggang.

Disiarkan pada: November 25, 2017 @ 9:06am
d