mutakhir

Salah guna teknologi

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Sistem keselamatan pelumpuh enjin (immobilizer) kebiasaannya digunakan untuk mengelak lori dicuri namun disalahgunakan syarikat pengangkutan bagi mengelak kenderaan mereka disita pihak berkuasa.

Taktik itu dikesan dalam Operasi Bersepadu oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur diketuai Asisten Superintendan Leonard Lawrance Abbie bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Plaza Tol Jalan Duta di sini, bermula jam 9 pagi semalam.

Dalam operasi itu, seorang lelaki berusia 40-an dikesan memiliki tujuh waran tangkap trafik sebelum sistem keselamatan lori yang diparkir pemandu itu di tepi jalan dimatikan.

Sehingga jam 11.30 pagi, kenderaan itu tidak dapat dihidupkan dan terpaksa ditinggalkan di tepi jalan, manakala pemandunya dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Hasil pemeriksaan ke atas 50 kenderaan termasuk 37 buah bas dalam operasi itu, sebanyak 32 saman dikeluarkan polis selain tangkapan ke atas pemandu lori terbabit, tiga saman dan tiga notis oleh SPAD, 15 notis oleh JPJ serta tangkapan seorang pemandu van selepas didapati positif dadah.

Disiarkan pada: November 25, 2017 @ 9:52am
d