mutakhir

BAKISA juara badminton

Oleh Nur Saliawati Salberi

PERDANA Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak meluangkan masa menyaksikan perlawanan akhir badminton dan menyampaikan hadiah sempena Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional SeMalaysia (PTIWRBNM) 2017, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini.

Pada perlawanan akhir acara itu, pasukan Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Sabah (BAKISA) dinobatkan sebagai pemenang apabila mengatasi Badan Amal dan Usaha Perak (BAIDURI) dengan 3-2.

Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) yang turut disertai Datin Seri Rosmah Mansor, menduduki tempat ketiga selepas menewaskan pasukan Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-isteri (SABATI) 3-0.

Terdahulu, ketibaan Najib disambut Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Antara menteri yang hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Bertemakan 'Sukan, Sihat, Hijau', PTIWRBNM 2017 yang bermula kelmarin membabitkan penyertaan kira-kira 500 peserta dari seluruh negara yang mempertandingkan acara badminton, golf dan tenpin bowling.

Disiarkan pada: November 25, 2017 @ 7:00pm
d