mutakhir

Beri latihan

Oleh Siti Nor Amirah Abu Bakar

Shah Alam : Islamic Relief Malaysia (IRM) menawarkan pendidikan khas buat anak etnik Rohingya yang berlindung di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, sehingga kini pihaknya sudah mempunyai 30 pelajar yang ditempatkan di pusat pendidikan, kemahiran dan kecemerlangan kelolaan IRM.

Beliau berkata, IRM sudah menubuhkan sebuah pusat pendidikan, kemahiran dan kecemerlangan untuk anak etnik itu di Taman Kajang Utama, Kajang Januari lalu yang memberi pendidikan kepada kanak-kanak berusia antara enam hingga 15 tahun.

“Bantuan daripada sekolah berasaskan Islam ini selaras dengan sektor kemanusiaan kerana perkara yang paling besar dalam sektor ini adalah pendidikan.

“Pendidikan penting untuk memperkasa dan membina generasi akan datang. Cadangan ini strategik, penting dan tepat pada masanya,” katanya selepas menerima sumbangan cek bernilai RM22,900 daripada Greenview Islamic School, di sini, semalam.

Sementara itu, Naib Pengetua Greenview Islamic School, Dr Sayyid Hussain berkata, sumbangan dihulurkan kepada IRM itu dikumpul dalam tempoh dua minggu saja dan mendapat sambutan baik daripada ibu bapa pelajar.

Katanya, selain derma berbentuk wang tunai, pihaknya juga menerima derma barangan peralatan sekolah, permainan dan sukan serta kesihatan untuk disalurkan kepada etnik Rohingya melalui IRM.

“Kami berbesar hati menghulurkan bantuan ini untuk disalurkan kepada NGO yang sesuai seperti IRM. Kami juga berharap kerjasama seumpama ini dapat diteruskan pada masa depan.

“Kami di sini cuba membantu masyarakat Rohingya yang berada di Malaysia dengan pendidikan, kemahiran serta berkongsi silibus pengajaran termasuk memberi latihan kepada tenaga pengajar kerana kami mempunyai sistem pendidikan antarabangsa yang terbaik,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2017 @ 5:20am
d