mutakhir

Bantuan RM1 juta

Oleh Norhadiani Baharom

Kuala Lumpur: Sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program Back to School 2018 anjuran UMNO Bahagian Titiwangsa dengan kerjasama Amanah Raya Berhad (Amanah Raya).

Jumlah itu berupa bantuan kelengkapan persekolahan kepada 4,000 anak di bawah Parlimen Titiwangsa di mana nilai sumbangan diterima setiap seorang pelajar RM250.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, agihan bantuan kelengkapan persekolahan itu dilakukan secara berperingkat-peringkat dalam empat program berasingan membabitkan 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah bagi setiap sesi.

“Ini adalah program kedua saya buat di Parlimen Titiwangsa. Hari ini (semalam) 1,000 sumbangan beg sekolah, wang tunai RM50 dan baucar Mydin RM150 untuk membeli pakaian sekolah diberikan kepada pelajar seperti yang dilakukan minggu lalu.

“Selepas ini ada dua lagi sesi penyerahan atau jumlah keseluruhan penerima adalah 4,000 pelajar. Peruntukan sumbangan bagi setiap pelajar adalah RM250,” katanya ditemui di Dewan Komuniti (UMNO) Taman Maluri.

Back to School adalah program tradisi anjuran Parlimen Titiwangsa dengan kerjasama Amanah Raya Berhad, sebagai satu inisiatif tanggungjawab sosial syarikat itu.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, sumbangan seperti ini sangat bermakna bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana, selain mempunyai ramai anak. Apatah lagi, perbelanjaan sesi baru persekolahan memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

“Menjadi keutamaan saya aspek pendidikan dalam program bantuan rakyat yang dianjurkan termasuk pembabitan syarikat luar dalam menjalankan program tanggungjawab korporat memilih medium pendidikan sebagai platformnya.

“Bantuan diagihkan kepada warga Titiwangsa daripada pelbagai latar belakang masyarakat tidak mengira bangsa dan jenis sekolah sama ada kebangsaan atau pun jenis kebangsaan untuk sama-sama menikmati sumbangan yang disediakan,” katanya

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Adenan Md Yusof dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Baru Datuk Affendi Zahari yang turut melakukan pengagihan bantuan persekolahan kepada pelajar.

Disiarkan pada: November 26, 2017 @ 5:43am
d