mutakhir

Bantu ribuan usahawan

Oleh Hamizah Badiran

Shah Alam: Usahanya membantu dan berkongsi ilmu mengenai pendidikan, pemasaran serta perniagaan kepada orang ramai sudah bermula sejak sembilan tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu, ribuan usahawan berjaya dilahirkan menerusi seminar kelolaan syarikatnya, Richworks International Sdn Bhd (RISB).

Selain menggalas tanggungjawab sebagai pengasas syarikat, Dr Azizan Osman turut bertindak sebagai mentor kepada setiap peserta seminar yang dianjurkan.

Tahun berganti tahun dan kini usahanya membantu orang ramai untuk berjaya dalam kehidupan amnya dan perniagaan khasnya mencapai ke satu tahap lebih tinggi apabila mendapat pengiktirafan daripada International Coach Guild (ICG) di Melbourne, Australia.

Tambah manis, secara peribadi, Dr Azizan menjadi individu pertama dari Malaysia yang berjaya mendapat pengiktirafan tahap tiga, Credentialed Master Coach, sekali gus tergolong di antara 391 Master Coaches yang diiktiraf ICG di seluruh dunia.

Selain pencapaian peribadi membanggakan itu, RISB turut menerima Certificate of Recognition bagi kategori Approved Business Mentorship Provider, Certificate of Recognition Level I, II dan III Recognised Course dan ICG School Recognised Plaque.

RISB juga muncul syarikat pertama di Asia dan kedua di dunia yang mendapat pengiktirafan sebagai ICG Recognised School.

Sebagai ICG Recognised School, RISB kini layak untuk menawarkan program yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

ICG adalah badan profesional bukan berasaskan keuntungan yang menggabungkan pelbagai institusi pendidikan dalam bidang kejurulatihan profesional seluruh dunia di bawah satu bumbung di mana kecemerlangannya akan dipantau.

Ia juga selaku badan kesatuan yang mengiktiraf individu di dalam bidang kejurulatihan seperti pengamal kejurulatihan, program membabitkan kejurulatihan dan organisasi kejurulatihan dengan pengiktirafan paling tinggi di peringkat global.

“Alhamdulillah, dengan adanya pengiktirafan yang mendapat akreditasi antarabangsa ini, usaha saya dan RISB terutamanya untuk membangunkan lebih ramai usahawan tidak lagi dipandang sebelah mata mahupun diperlekehkan.

“Kita berjaya membuktikan, apa yang kita lakukan selama ini berada di landasan yang tepat dengan tujuan untuk membantu, berkongsi ilmu dan memajukan sesama insan.

“Saya gembira, berbesar hati dan bersyukur kerana RISB kini mampu menyediakan peluang dan memberi akreditasi kepada peserta yang mengikuti program kami kerana ia sudah dipersijilkan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Sejak penubuhan ICG pada 2013, lebih 700 individu profesional dalam bidang kejurulatihan di seluruh dunia sudah diiktiraf dan mendapat akreditasi.

ICG menggabungkan mereka di bawah satu set standard dunia yang merangkumi pelbagai aspek seperti sumber ilmu, kelengkapan, kemahiran, kajian pembangunan profesional, peluang rangkaian jalinan dan sebagainya yang dititikberatkan.

Ia turut bertindak dalam memajukan kerjaya, perniagaan, kejayaan peribadi dan seterusnya membangunkan perkembangan industri kejurulatihan menerusi piawaian yang diiktiraf di peringkat global.

“Hampir setahun pihak kita memohon kepada ICG, dan selepas mereka menerima permohonan serta menilai kursus dan program dilaksanakan RISB selama ini, ternyata rezeki berpihak kepada kita.

“Saya dimaklumkan, sewaktu kita menghantar permohonan terdapat beberapa organisasi seperti dari Kanada, Australia dan New Zealand turut memohon.

“Pihak ICG memberikan akreditasi pada institusi kejurulatihan dan jurulatihnya mengikut empat peringkat.

“Setiap peringkat itu memerlukan tempoh latihan, dokumentasi sebagai bukti, pemerhatian serta pelbagai syarat yang memakan masa, tenaga dan sumber demi memastikan mereka benar-benar layak untuk digelar atau berada sebaris dengan jurulatih profesional dunia,” katanya.

Menurutnya, melalui pengiktirafan itu, pihaknya mahu memastikan platform institusi kejurulatihan (RISB) berkenaan menjadi pilihan utama bagi semua peringkat termasuk peribadi, profesional, organisasi mahupun korporat.

Beliau juga akan berusaha melakukan penambahbaikan bagi memastikan kualiti dan standard pada tahap terbaik di masa depan.

Hadir bersama pengiktirafan itu pasti memberi lebih peluang yang hebat kepada Dr Azizan kerana pintu kejurulatihan di luar negara buatnya kini terbuka luas.

Disiarkan pada: November 26, 2017 @ 6:10am
d