mutakhir

Kerajaan negeri mahu kuasai SAJ

Oleh Mary Victoria Dass

SEBAGAI langkah mempertingkatkan kesejahteraan penduduk, kerajaan negeri berusaha menjadi pemegang saham utama dalam Syarikat Air Johor Holdings Bhd (SAJ) pada masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri pada masa sekarang memegang 20 peratus saham dalam syarikat berkenaan.

Beliau berkata, dalam situasi berkenaan, kerajaan negeri tidak mampu melakukan kawalan terhadap operasi syarikat, keputusan terhadap perancangan serta soal keuntungan.

Menurutnya, ia termasuk soal berkaitan meningkatkan keupayaan loji, menentukan lokasi pembinaan loji dan sebagainya.

"Oleh kerana tuntutan semasa termasuk cabaran menghadapi pencemaran air, soal kualiti air dan kegunaan teknologi, kerajaan negeri akan menyahut saranan daripada wakil rakyat negeri ini.

"Saranan itu supaya kerajaan menjadi pelaksana perancangan serta kawalan operasi," katanya di sidang media di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

Hasni berkata demikian bagi mengulas saranan Ali Mazat (BN-Bukit Permai) di Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Yang Ke-13.

Ali menyarankan kerajaan negeri meningkatkan saham dalam SAJ sebagai usaha memiliki kawalan terhadap operasi syarikat berkenaan demi kesejahteraan penduduk.

Hasni berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pemegang saham uatam SAJ dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, ia bergantung kepada pemegang saham berkenaan sama ada mahu melepaskan sebahagian sahamnya atau sebaliknya.

"Kita menyahut saranan untuk meningkatkan pegangan saham kepada 51 peratus atau suatu jumlah lain.

"Sekiranya pemegang saham berkenaan tidak mahu mempertimbangkan, kerajaan negeri perlu menunggu hingga tamat tempoh perjanjian 30 tahun," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2017 @ 3:12pm
d