mutakhir

Tahniah!

Oleh Nordiana Shafiee

DUA graduan Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, menerimaAnugerah Nadi Negara Kategori Orang Kurang Upaya (OKU) pada Majlis Anugerah Nadi Negara 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam.

Dua penerima terbabit adalah OKU fizikal, Meor Muhammad Afif Aiman Abu Bakar, 27, dan OKU penglihatan, Harziah Khalid Yunus, 26.

Meor Muhammad berkata, dia tidak menyangka penyertaan kali pertama dalam kategori OKU itu membuahkan hasil apabila menerima anugerah terbabit.

Menurutnya, anugerah itu menjadi pemangkin buatnya untuk membabitkan diri dalam komuniti OKU kerana sebelum ini lebih banyak menyertai pertandingan bagi kategori biasa.

"Saya akan cuba sedaya upaya untuk menginspirasikan rakan-rakan dalam komuniti OKU terutamanya dalam pembangunan sahsiah, bukan sekadar menfokuskan kemahiran teknikal.

“Selepas ini, saya ingin menguatkan lagi status komuniti OKU dalam negara ini terutamanya graduan OKU dan memastikan matlamat utama meningkatkan jumlah pelajar OKU ke universiti, tercapai,” katanya yang kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) (Pengajian Antarabangsa).

Meor Mohamad berkata, anugerah itu juga membuktikan bahawa kerajaan mengiktiraf sumbangan siswa OKU sebagai ‘Nadi Negara’ yang turut membantu dalam pembangunan negara.

Sementara itu, Harziah yang juga graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dan penerima Anugerah Emas Canselor pada Konvokesyen Ke-30 UUM lalu, melahirkan rasa syukur apabila dipilih menerima Anugerah Nadi Negara Kategori OKU.

“Saya tidak sangka tahun ini sahaja saya menerima banyak anugerah paling berharga buat diri dan keluarga.

“Pengalaman pernah tercicir dalam pelajaran ketika di bangku sekolah menjadi pendorong untuk mencapai kejayaan,” katanya yang berasal dari Ketiau Putatan, Kota Kinabalu, Sabah.

Pada majlis itu, bekas Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM 2014/2015 Mohd Ali Faiz Salleh turut menerima Anugerah Nadi Negara.

Seramai 25 graduan daripada Universiti Awam (UA), universiti swasta, dan graduan lepasan universiti luar negara menerima Anugerah Nadi Negara 2017 yang disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Anugerah Nadi Negara adalah inisiatif yang diperkenalkan oleh Pergerakan Wanita UMNO sejak 2009 bagi mengiktiraf graduan universiti yang cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum dan kepemimpinan.

Disiarkan pada: November 26, 2017 @ 4:29pm
d