mutakhir

Khatan bersama [METROTV]

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

SEMPENA musim cuti sekolah, Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang meneruskan tradisi tahunan dengan menaja 40 kanak-kanak pada Majlis Berkhatan Beramai-Ramai di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di Bandar Perda, Bukit Mertajam, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Prof Madya Dr Abd Aziz Abd Rahman berkata, majlis tradisi itu dianjurkan lima tahun berturut-turut sejak 2013 dalam usaha pihaknya mengeratkan silaturahim dengan komuniti setempat.

Beliau berkata, majlis yang bermula 9 pagi itu, membabitkan kerjasama Masjid Daerah SPT dan dimulakan dengan aktiviti bersiram oleh pihak Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda.

"Selepas bersiram, semua kanak-kanak itu diarak dari masjid ke hospital menaiki motosikal berkuasa tinggi sebelum disambut dengan paluan kompang.

"Setibanya di hospital, jururawat melakukan pemeriksaan asas kesihatan seperti rambut, kuku dan kulit, malah mereka dihiburkan dengan rancangan kartun sementara menunggu giliran berkhatan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Pengarah Eksekutif Hospital Pakar KPJ Roslan Ahmad melakukan simbolik menyiram semua kanak-kanak terbabit dengan pancutan air paip bomba, sekali gus merasmikan majlis berkenaan.

Abd Aziz berkata, cenderahati seperti kain pelekat, peralatan mewarna dan menulis diberikan kepada peserta berkhatan membabitkan penduduk sekitar Bandar Perda.

Sementara itu, Azman Awang, 35, berkata, dia dan isteri, Halimatul Saadiah, 36, berterima kasih kepada pihak Hospital Pakar KPJ kerana menaja dua anaknya iaitu Amar Zafri Azman, 8 dan Mohd Amar Mukhriz Azman, 9, dalam majlis khatan itu.

"Walaupun mereka agak gemuruh pada mulanya, selepas menjalani proses khatan itu mereka kelihatan gembira apabila semuanya berjalan lancar.

"Kami berpuas hati dengan layanan dan perkhidmatan diberikan pihak hospital ini, malah berharap program sebegini akan diteruskan setiap tahun," katanya.

Kamarul Zaman Kader Maydin, 37, pula berkata, walaupun gelagat anak keduanya daripada empat beradik, Adel Malleqi Kamarul Zaman, 6, menangis ketika mahu dikhatankan, namun semuanya berjalan lancar dalam keadaan baik dan terkawal.

"Pihak hospital menggunakan peralatan dan teknologi canggih serta terkini, malah peralatan digunakan bersih dan bebas daripada jangkitan kuman.

"Doktor pakar melakukan kerja dengan teliti dan kakitangan terbabit turut memberikan sokongan moral kepada peserta sebelum dan selepas majlis berkhatan ini dijalankan," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2017 @ 5:55pm
d