mutakhir

Jambatan Jerubun tenggelam

Oleh Mohammad Ishak

PENDUDUK 15 kampung di Hulu Besut terputus hubungan dengan bandar Jertih apabila Jambatan Jerubun, Pasir Akar, dinaiki air, hari ini.

Laluan terbabit ditenggelami air lebih 0.35 meter dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan sejak 4 petang tadi.

Tinjauan di jambatan berkenaan mendapati, puluhan kenderaan menuju ke Hulu Besut terkandas.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terpaksa menggunakan lori bagi membantu mengangkut orang ramai yang ingin meneruskan perjalanan ke Hulu Besut.

Pegawai APM Besut, Kapten (PA) Mohd Suhaimi Awang berkata, setakat ini keadaan banjir seluruh Besut masih terkawal.

"Masih belum ada penduduk yang dipindahkan akibat banjir kecuali jalan utama Jertih-Hulu Besut ditenggelami air.

"Bilik gerakan banjir daerah juga masih belum beroperasi tetapi kita nasihatkan penduduk Kampung La yang kerap dilanda banjir supaya bersiap sedia untuk pindah jika hujan lebat berterusan hingga malam ini," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2017 @ 6:32pm
d