mutakhir

Kunyah tiga kali je... [METROTV]

Oleh Nor Shayaumil Qhairil Eemann

KUNYAH dua hingga tiga kali, kemudian telan.

Itu teknik dilakukan oleh Dr Muhammad Amir Ayub, 31, bagi menghabiskan 10 keping daging tulang rusuk lembu pada pertandingan makan hidangan itu anjuran Tony Roma's.

Hasilnya, doktor yang bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu muncul juara bagi pertandingan 'Tony Roma's Ribs-Eating' dengan catatan masa tujuh minit 59 saat di cawangan restoran itu di Putrajaya.

Dr Muhammad Amir berkata, tempoh masa yang diambil bagi menghabiskan hidangan itu lebih sedikit berbanding penyertaannya pada tahun lalu.

"Pada tahun lalu, saya juga muncul juara ketika pertandingan sama diadakan di Melaka dengan catatan masa lima minit bagi menghabiskan hidangan daging tulang rusuk kambing.

"Bagaimanapun, untuk kali ini saya mengambil masa lebih kerana daging lembu liat sedikit berbanding daging kambing," katanya ketika ditemui pemberita pada pertandingan berkenaan di Putrajaya, hari ini.

Dia mengakui wujud persaingan sengit dengan peserta lain bagi menghabiskan hidangan berkenaan memandangkan mereka juga tidak kurang hebat.

"Justeru, saya akan mengunyah dulu daging dalam dua hingga tiga kali, kemudian baru menelannya supaya tidak mengambil masa terlalu lama," katanya.

Menerusi kemenangan itu, Dr Muhammad Amir membawa pulang hadiah berupa baucer makan di mana-mana cawangan restoran Tony Roma's selama setahun secara percuma.

Bagi kategori wanita, Eksekutif Pemasaran, Farrah Dayana Ahmed Othman, 36, diumumkan sebagai juara dengan catatan masa lima minit 50 saat bagi menghabiskan lima keping daging tulang rusuk lembu.

"Pertandingan ini adalah kali pertama saya sertai dan saya belajar melalui Youtube untuk mengetahui teknik makan daging dengan cepat dan pantas.

"Walaupun sedang menjalani program untuk menguruskan badan, tetapi pertandingan ini tidak memberikan kesan kepada saya untuk menjadi peserta sekali gus memenanginya," katanya.

Sementara itu, ‘Tony Roma's Ribs Eating' turut berjaya dicatatkan dalam Malaysia Book of Record (MBOR) sebagai pertandingan makan daging tulang rusuk lembu paling pantas di Malaysia.

Sijil berkenaan diterima oleh Pengurus Besar (Jenama) Tony Roma's Muhammad Adam Mah disampaikan oleh wakil MBOR, Nurasyikin Ramli.

Disiarkan pada: November 26, 2017 @ 7:02pm
d