mutakhir

Angkara tayar pecah

Oleh Norizuan Shamsuddin

LELAKI maut apabila motosikal kuasa tinggi ditunggang melanggar lori yang terbalik akibat tayar pecah di Kilometer 425.7 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Bukit Tegar, Hulu Selangor, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian pada 3.21 petang.

Katanya, sembilan anggota bersama dua jentera bomba dikerahkan ke lokasi bagi khidmat khas bantuan kemalangan jalan raya.

"Setibanya di lokasi anggota mendapati kemalangan membabitkan motosikal kuasa tinggi dan lori satu tan milik syarikat penyelenggara lebuh raya di lokasi itu dari arah selatan.

"Difahamkan kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar lori terbabit pecah dan menyebabkan kenderaan terbabit terbalik serta melintang di tengah lebuh raya sebelum dirempuh oleh motosikal berkenaan.

"Kejadian menyebabkan penunggang motosikal, Azmi Mohd Yusuf, 52, tersepit dan maut di lokasi, manakala tiga pekerja syarikat penyelenggara lebuh raya yang menaiki lori terbabit cedera ringan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kes diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan lanjut dan pihaknya hanya membantu bagi mengeluarkan mangsa tersepit.

Disiarkan pada: November 26, 2017 @ 9:51pm
d