mutakhir

Landasan Gen Y

Oleh Salman Hamat dan Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Kerajaan kini menyediakan pelbagai infrastruktur dan bantuan bagi merealisasikan impian generasi Y (Gen Y) termasuk menjadi insan berjaya di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, berikutan itu pemimpin masa kini berusaha menyediakan negara sempurna dan maju bagi diwarisi Gen Y satu hari nanti

“Sebagai pemimpin, jangan fikir diri sendiri saja, fikirkan juga orang muda. Sebab itu kita buat Program Transformasi Nasional 2050 (TN50). Hendak sediakan orang muda untuk negara selepas ini.

“Program ini bagi membentuk masa depan, kehidupan rakyat dan negara, terutama orang muda untuk pastikan mereka merasai kehidupan dalam negara lebih baik serta ada harapan cerah,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Gen Y Green The City Melaka 2017 di Dataran 1Malaysia Klebang, di sini, semalam.

Hadir sama, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Yang di-Pertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI), Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Perhimpunan sempena Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Semalaysia (PTIWRBNM) 2017 itu dihadiri lebih 80,000 peserta dari seluruh negeri yang majoritinya dalam kalangan Gen Y.

“Kehadiran Gen Y hari ini menunjukkan orang muda menyokong perjuangan dan dasar kerajaan bertujuan menjamin masa depan mereka,” katanya.

Pada majlis sama, Najib turut menanam kapsul masa iaitu ‘Warkah PM’ kepada generasi muda yang dibuka semula pada 1 Januari 2050 oleh Perdana Menteri ketika itu.

Selain itu, beliau menyampaikan anugerah ikon Gen Y Melaka kepada tiga penerima termasuk pemenang pingat perak beregu campuran badminton Sukan Olimpik Rio, Brazil Goh Liu Ying.

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 6:01am
d