mutakhir

Tengku Sarafudin Badlishah dimasyhur Raja Muda Kedah

Oleh HM Digital

Alor Setar: Tunku Laksamana Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Salehuddin dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah yang ke-20 dalam istiadat di Istana Anak Bukit, di sini, semalam.

Pemasyhuran disempurnakan di hadapan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sempena Istiadat Pemashyuran Pelantikan Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah dan Pengisytiharan Pelantikan Yang Teramat Mulia Tunku Laksamana Kedah.

Terdahulu, pemasyhuran Tengku Sarafudin itu dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bakar Din diikuti lafaz sumpah dan menandatangani watikah sumpah Raja Muda Kedah.

Selepas itu, Tengku Sarafudin dikurniakan Keris Kebesaran sebelum paluan nobat serta sembilan das tembakan meriam dilepaskan.

Pemasyhuran yang berlangsung jam 10.30 pagi itu turut disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hashim Hamzah dan Ketua Hakim Syarie Kedah Datuk Syeikh Abd Rahman Abdullah.

Pelantikan Tengku Sarafudin bagi menggantikan ayahandanya yang kini menjadi Sultan Kedah yang ke-29 menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat pada September lalu .

Tengku Sarafudin anakanda sulung Sultan Kedah Sultan Salehuddin dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tunku Arif.

Dalam istiadat sama, anakanda kedua Sultan Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin turut dimasyurkan sebagai Tunku Laksamana Kedah.

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 6:03am
d