mutakhir

Batal penerbangan ke Bali

Penerbangan Malaysia Bhd (MAB) membatalkan semua penerbangan ke Denpasar-Bali hari ini berikutan letusan Gunung Agung di Bali.

Dalam satu kenyataan hari ini, semua penumpang sudah dimaklumkan berhubung pembatalan berkenaan menerusi mesej ringkas petang semalam dan maklumat perjalanan turut dimuat naik menerusi laman sesawang, Facebook dan Twitter.

“Pihak penerbangan memantau situasi berkenaan dan menyusun jadual penerbangan keluar dan masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai jika perlu.

“Untuk menangani situasi berkenaan, kami akan memberi pilihan kepada penumpang terbabit sama ada pemulangan semula bayaran tiket atau menangguhkan perjalanan sehingga hujung Februari 2018, menukar destinasi (sekiranya ada kekosongan tempat duduk) ke Jakarta, Surabaya atau mana-mana destinasi di ASEAN,” katanya.

Untuk maklumat lanjut katanya, penumpang boleh menghubungi 1 300 88 3000 (Malaysia) atau +603 7843 4000 (luar Malaysia).

Sementara itu, AirAsia dalam satu kenyataannya berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai Bali ditutup untuk sementara selepas letusan berkenaan.

Katanya, penumpang yang penerbangan mereka dibatal, boleh menukar masa perjalanan baru ke laluan sama dalam tempoh 30 hari dari masa penerbangan asal tanpa kos tambahan dan tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

Jika mereka memilih tidak berbuat demikian, katanya, penumpang boleh mengekalkan nilai tambang mereka dalam akaun kredit untuk perjalanan masa depan dengan AirAsia.

“Akaun kredit dalam talian boleh ditebus dalam tempoh 90 hari daripada tarikh dikeluarkan," katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata, pelanggan dinasihatkan untuk melayari www.airasia.com dan laman media sosial AirAsia untuk pengumuman lanjut dan juga untuk memeriksa status penerbangan mereka menerusi ciri "Mengurus Tempahan Saya" di laman web AirAsia.

AirAsia berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan akan menjalankan penilaian risiko secara berterusan bagi menjamin keselamatan operasinya.

“AirAsia akan terus memberi maklumat mengenai perkembangan terkini,” katanya dan menasihati pelanggan yang inginkan maklumat lanjut dan bantuan supaya menghubungi pasukan sokongan pelanggan syarikat tersebut di https://support.airasia.com.- Bernama

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 11:55am
d