mutakhir

Sabarlah anakku...

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

KETIKA mengandung empat bulan, Januari lalu, dia terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) kerana rumahnya di Kampung Pangkal Kalong, Kota Bharu dinaiki air akibat banjir.

Kini, selepas anak lelakinya lahir dan berusia enam bulan, Norlelawati Mohd Nor, 35, sekali lagi menghuni PPS di Pusat Latihan & Dakwah Orang Asli Islamic Outreach ABIM Kelantan, Kok Lanas kerana bencana sama.

Dia memasuki pusat itu semalam bersama tiga anaknya termasuk si kecil yang dilahirkan pada Mei, Muhammad Adam Mikail Mohd Zul Afendi.

“ €œPengalaman yang tak mungkin saya lupakan apabila mengandung di PPS (pada Januari) dan sekali lagi terpaksa berpindah di sini semalam bersama Adam yang sudah pun berusia enam bulan.

“ €œKetika Januari lalu, saya mengandungkan Adam dan kandungan berusia empat bulan. Saya terpaksa tinggal di pusat ini selama seminggu disebabkan banjir lambat surut.

“ Alhamdulillah ketika itu saya tiada masalah dan tiada alahan atau sakit apa-apa. Kali ini bersama Adam yang sudah berusia enam bulan, saya bimbang dia tidak selesa,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, dia berharap Muhammad Adam Mikail dapat menyesuaikan diri dan tidak mengganggu ketenteraman mangsa banjir yang lain.

"Saya berharap semuanya baik-baik dan Adam dapat memahami situasi dihadapinya walaupun dia bayi lagi," katanya.

Norlelawati berkata, dia dan suaminya Mohd Zul Afendi Mohd Nor, 43, melakukan persediaan awal sebelum berpindah kerana kawasan rumah mereka yang mudah dinaiki air.

Katanya, lampin pakai buang anaknya, susu, ubat-ubatan, dokumen penting serta pakaian sudah dipersiapkan lebih awal.

“ €œApabila air makin naik dan keadaan makin serius, kami terus berpindah sahaja kerana barang perlu dibawa sudah ada disiapkan awal,”€ katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 12:05pm
d