mutakhir

RM90 membawa padah [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

PADAH cuba menyogok pegawai imigresen untuk masuk ke negara jiran tanpa dokumen sah, seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini.

Lim Choon Chuan, 36, didakwa cuba memberi RM90 kepada Pegawai Imigresen, Mohd Hamizan Mohamad Azlan, pada 7.25 malam, 17 Mac lalu, di Kaunter Kereta Keluar 1, Pejabat Imigresen Pengkalan Hulu.

Wang berkenaan sebagai dorongan membenarkan tertuduh bersama tiga individu lain.

Ini termasuk lelaki yang disekat keluar negara kerana muflis dan wanita Vietnam yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Choon Chuan didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika didapati bersalah tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum RM10,000.

Tertuduh yang diwakili peguam J L Khong bagaimanapun mengaku tidak bersalah pertuduhan dihadapi dan minta dibicarakan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin dihadapan Hakim S Indra Nehru.

Nurul Wahida meminta mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 dan tertuduh merayu jaminan minimun RM5,000 atas alasan perlu menanggung isteri dan tiga anak berusia empat, sembilan dan 11 tahun serta hanya bekerja sebagai pemandu.

Indra Nehru kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes berkenaan pada 21 Disember ini.

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 12:56pm
d