mutakhir

Pembantu tadbir didakwa pecah amanah

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

SEORANG wanita yang juga bekas pembantu tadbir sekolah dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, hari ini atas tuduhan pecah amanah membabitkan RM225,912.24, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Siti Norlaily Narawi, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, Siti Norlaily didakwa melakukan pecah amanah atas kapasiti sebagai penjawat awam iaitu pembantu tadbir yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas bayaran kontrak pembersihan serta kawalan keselamatan berjumlah RM225,912.24.

Dia didakwa dengan niat melakukan pecah amanah ke atas harta berkenaan di sebuah sekolah menengah di Kota Kinabalu, antara 8 pagi hingga 5 petang, antara 19 Mac hingga 19 Disember 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zahidah Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Tengku Fuad Ahmad.

Ainul Shahrin membenarkan Siti Norlaily diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain tertuduh perlu melaporkan diri di Balai Polis Papar pada hari pertama setiap bulan.

Mahkamah juga menetapkan 22 Januari 2018 sebagai pengurusan kes, manakala 11, 12 dan 13 April tahun depan sebagai tarikh perbicaraan.

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 1:11pm
d