mutakhir

PTPTN aje dah dekat setengah juta [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim

SERAMAI 790,186 warga Malaysia disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Daripada jumlah itu, 447, 890 disebabkan tidak membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Musafar Ali, berkata 107,884 pula kerana tidak membayar cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, 138,028 pula diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi manakala 7,024 lagi tidak mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Berikutan itu, katanya, JIM mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan nilai tambah Kiosk Pra Semakan Senarai Hitam (Pre Read Kiosk) untuk membolehkan penumpang membuat semakan kelayakan sebelum ke luar negara bagi melancarkan perjalanan mereka.

“Semakan perlu dibuat sebelum daftar masuk bagi mengelak penangguhan masa berlepas penerbangan, jangan nanti apabila tiba di kaunter, ada sekatan ke luar negara.

“Buat masa ini, terdapat tiga kiosk di terminal utama KLIA dan kita sedang berbincang dengan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) untuk buka kiosk sama di klia2 dalam tempoh sebulan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kiosk Pra Semakan Senarai Hitam di KLIA, Sepang, hari ini.

Mustafar berkata, selain menyemak senarai hitam, kiosk berkenaan juga boleh menguji beberapa perkhidmatan lain temasuk pasport dalam senarai suspek JIM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), LHDN, KWSP dan PTPTN.

Selain itu, katanya, pasport dibatalkan, tamat tempoh, dimiliki lebih daripada satu suspek, pasport dengan tempoh sah kurang enam bulan, hilang dan tidak dijumpai dalam sistem.

“Kami turut bercadang memperluaskan perkhidmatan itu di lapangan terbang antarabangsa lain.

“JIM bekerjasama baik dengan agensi berkaitan seperti MAHB dan Jawatankuasa Operasi Penerbangan (AOC) bagi meningkatkan mutu perkhidmatan di KLIA dan klia2,” katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 1:22pm
d