mutakhir

Tak dok boyo Sungai Golok tu

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

BALAI Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang menafikan buaya muncul di Sungai Golok, Rantau Panjang, yang tular selepas tersebar sekeping gambar di Facebook (FB) sejak semalam.

Dakwaan itu tular selepas paras air Sungai Golok meningkat dan 10 pagi tadi, ia melebihi paras bahaya iaitu 9.21 meter berbanding paras bahaya (sembilan meter).

Situasi itu menyebabkan penduduk berdekatan sungai bimbang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Mohd Adni Ibrahim berkata, gambar buaya itu bukan di kawasan Sungai Golok.

"Kita nafikan perkara itu dan setakat ini bomba masih belum menerima maklumat mengenai kemunculan buaya dan kesahihannya diragui.

"Gambar itu pernah tular sebelum ini walaupun tidak sahih," katanya hari ini.

Pada masa sama beliau berkata, air Sungai Golok akan melimpah jika hujan masih berterusan.

Katanya, air sungai akan melimpah sekiranya bacaan meningkat sehingga 10 meter dan hujan lebat melebihi 60 milimeter.

"Melihatkan keadaan cuaca, saya jangka paras air sungai akan terus meningkat dan penduduk yang tinggal di kawasan rendah khususnya pekan Rantau Panjang, Kampung Lancang dan Bakong dinasihatkan berjaga-jaga.

"Air sungai naik bila-bila masa, jadi mereka dinasihatkan berpindah ke pusat pemindahan sementara yang sudah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, penduduk diminta membuat persediaan awal dan menyimpan dokumen penting sekiranya diarahkan berpindah.

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 1:31pm
d