mutakhir

Menyamar sebagai polis

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

GURU rugi RM592,630 selepas ditipu sindiket penipuan Macau Scam yang mendakwa mangsa terbabit kes penggubahan wang haram, Jumaat lalu.

Wanita berusia 51 tahun itu dihubungi seorang lelaki pada 16 November lalu yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis.

Suspek mendakwa mangsa dikesan melakukan kesalahan penggubahan wang haram dan bakal ditahan tidak lama lagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa memasukkan sejumlah wang kepada nombor akaun yang diberikan.

Menurutnya, mangsa juga diugut wang simpanannya di dalam bank bakal dibekukan jika tidak dipindahkan ke akaun terbabit.

"Mangsa kemudiannya terpedaya dan memindahkan wang seperti yang diminta dalam beberapa transaksi," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, di Kuching, hari ini.

Mustafa Kamal berkata, mangsa kemudian tersedar ditipu selepas cubaannya menghubungi semula suspek gagal pada Jumaat lalu sebelum membuat laporan polis.

Beliau berkata, polis sudah mengenal pasti pemilik akaun yang terbabit dalam kes ini dan usaha mengesan giat dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan.

"Orang ramai diminta lebih berhati-hati supaya tidak mempercayai sekiranya dihubungi individu tidak dikenali dan meminta memindahkan sejumlah wang kepada akaun tertentu," katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 4:13pm
d