mutakhir

Jangan merempit lagi lepas ni

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

MAT rempit dipenjara lima hari dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini, selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu dan membuat aksi yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Majistret Mohd Aizuddin Zolkeply memerintahkan tertuduh, Mohammad Atiff Rusli, 22, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 24 November lalu.

Beliau juga menetapkan tertuduh dipenjara tambahan empat bulan jika gagal membayar denda itu.

"Lesen tertuduh kelas B2 juga digantung selama dua tahun bermula hari ini selain kesalahan itu dicatatkan dalam lesen," katanya.

Berdasarkan pertuduhan, Mohammad Atiff didakwa menunggang motosikal secara melulu dan membuat aksi yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain di Lebuhraya Darul Aman, Alor Setar pada 24 November lalu, 3.15 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mohd Nuradzwan Rodzi merayu agar tertuduh tidak dipenjarakan sebaliknya dihukum berdasarkan peruntukan Seksyen 173 (a) Kanun Acara Jenayah iaitu dibebaskan dengan bon berkelakuan baik atau perintah kehadiran wajib.

Katanya, tertuduh tidak bekerja tetap dan membantu bapanya di sawah serta menghidap penyakit ketumbuhan di dalam hidung.

"Dia bersekolah sehingga tamat tingkatan lima dan menyambung sehingga lulus diploma di ILP (Institut Latihan Perindustrian) di Kepala Batas, Pulau Pinang.

"Selain itu, abangnya bakal berkahwin pada 17 Disember depan dan keluarganya memerlukan banyak wang, jadi saya pohon hukuman ringan," katanya.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Asisten Superintendan Sukmanengrat Johar.

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 4:49pm
d