mutakhir

Bot karam, seorang nelayan hilang

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

SEORANG nelayan warga Thailand masih hilang dan enam rakannya selamat dalam kejadian bot karam di Muara Tok Bali, Pasir Puteh, hari ini.

Kejadian 1.15 tengah hari, bot nelayan Kelas C yang dinaiki nelayan berkenaan karam dalam jarak satu batu nautika dari Muara Tok Bali ekoran hujan lebat dan ombak kuat.

Mereka berusia 20an hingga 60an dalam perjalanan pulang ke negara mereka di Wilayah Songkla, Thailand.

Seorang mangsa dikenali sebagai Jop, 62, berkata, sebaik bot karam dia sempat berpaut pada tiga pelampung pukat.

"Saya tercampak jauh daripada rakan lain yang terlebih dahulu diselamatkan oleh nelayan yang melalui kawasan itu.

"Mereka mungkin tidak nampak saya menyebabkan saya terapung lebih satu jam di lautan sebelum diselamatkan pihak berkuasa jam 3 petang," katanya ketika ditemui di jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tok Bali, hari ini.

Temuramah dibantu oleh jurucakap APMM kerana mangsa tidak dapat bertutur dalam Bahasa Melayu.

Mangsa yang berasal dari Songkla bersyukur terselamat dalam insiden itu.

Sementara itu, Pengarah APMM Kelantan, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya mendapat laporan 1.15 tengah hari dan seramai lima anggota yang diketuai Bentara Muda Maritim Hasmadi Hassan menggunakan bot Penyelamat Tujuh bergegas ke lokasi kejadian.

"Seorang mangsa terapung dan berpaut pada tiga bot pukat diselamat jam 3 petang.

"Kita membawa mangsa ke jeti APMM Tok Bali. Kesemua mangsa yang selamat dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan lanjut sebelum diserahkan kepada pihak polis," katanya.

Katanya, pihaknya bersama agensi lain masih mencari seorang mangsa yang masih hilang.

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 6:01pm
d