mutakhir

Berhenti guna Gozout

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

PESAKIT kencing manis, gout dan darah tinggi yang menggunakan produk Gozout diminta berhenti menggunakan produk itu susulan pengharaman penjualannya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana mengandungi 100 peratus bahan aktif berbahaya kepada pengguna.

Pengiklanan dan penjualan produk itu juga didapati mengelirukan orang ramai berikutan dikatakan mampu menjadi penawar kencing manis, darah tinggi dan gout.

Susulan itu, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM merampas produk terbabit membabitkan nilai RM2.3 juta dalam serbuan di Kelantan dan Terengganu.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, rampasan itu hasil maklumat berkenaan pengiklanan dan penjualan produk berkenaan yang mengelirukan orang ramai.

Katanya, hasil semakan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), mengesahkan produk itu tidak berdaftar serta mengandungi 100 peratus bahan aktif dan melanggar Peraturan 7(1)(a) dan Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Hasil semakan, kita mendapati produk ini mengandungi 100 peratus bahan aktif dan sepatutnya ia perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

“Bertindak atas maklumat itu, kita melakukan rampasan produk berkenaan di Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Noor Hisham berkata, penjual produk ini boleh didakwa mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan berikutnya, mereka boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurut Noor Hisham, bagi syarikat yang melakukan kesalahan menjual produk itu, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.

Sehubungan itu, pihaknya menasihatkan orang ramai agar berwaspada serta tidak terpengaruh dengan produk kesihatan yang banyak dijual di pasaran terutama penjualan dalam talian.

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 7:07pm
d