mutakhir

Jijik!

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

BIMBANG dicekup anggota penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Tumpat, tiga lelaki termasuk dua beradik berusia 13 dan 10 tahun, sanggup terjun ke dalam tangki kumbahan di Kampung Gerong, Tumpat, hari ini.

Dalam operasi 9 pagi itu, mereka terjun bersama seorang remaja berusia 17 tahun.

Pengarah AADK Kelantan, Rohayu Ahmad berkata, dua beradik itu menjadikan rumah mereka sebagai 'port' mengambil dadah ketika ibu bapa tiada di rumah.

"Dua beradik itu bertindak melarikan diri sebaik sahaja melihat van AADK yang memasuki halaman rumah, dan turut bersama seorang sepupu mereka.

"Pada mulanya mereka melarikan diri ke arah semak, sebelum anggota kami mendapati mereka terjun ke dalam tangki kumbahan yang terletak di belakang rumah," katanya ketika ditemui di pejabat AADK Tumpat, di sini, hari ini.

Rohayu berkata, mereka sudah tidak bersekolah dan hasil pemeriksaan ujian saringan air kencing mendapati positif dadah jenis methampethamine.

"Hasil soal siasat, kita dapati mereka mula mengambil dadah jenis pil kuda sejak setahun lalu.

"Wang untuk membeli pil kuda diperolehi dengan mencuri ternakan penduduk kampung dan mencuri wang ibu mereka," katanya.

Dalam operasi bersama Unit Anti Dadah Sempadan Pengkalan Kubor, pihaknya turut menahan tujuh lagi penagih di Kampung Gerong, Pulau Kerbau dan Delima.

Katanya, dua beradik terbabit disiasat mengikut Seksyen 9(a) Akta Penagihan Dadah (APD) Rawatan dan Pemulihan 1983.

Manakala, selebihnya yang berusia 17 hingga 39 tahun disiasat mengikut Seksyen 3(1) APD dan Rawatan dan Pemulihan 1983.

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 7:44pm
d