mutakhir

Maut motosikal rempuh kereta

Oleh Zulfa Mohamad

REMAJA maut selepas motosikal ditunggang merempuh kereta yang membelok secara tiba-tiba di Jalan Permatang Sungai Dua, Butterworth, semalam.

Kejadian 7.35 malam itu berlaku ketika Fakhirur Razi Ahmad, 18, menunggang motosikal dari arah Kampung Setol menghala Sungai Dua.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika tiba di tempat kejadian lelaki yang memandu kereta dari arah Sungai Dua membelok ke kanan untuk pulang ke rumahnya.

Berikutan itu katanya, mangsa dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta terbabit.

"Mangsa cedera di kepala dan kaki. Dia dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) manakala pemandu kereta berusia 39 tahun tidak cedera tetapi kenderaannya remuk teruk di bahagian kiri.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan 12.15 tengah malam tadi," katanya.

Noorzainy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 9:29pm
d