mutakhir

Pendaki sesat di Gunung Chemendung

Oleh Adnan Ibrahim

PENDAKI dilaporkan sesat ketika menuruni Gunung Chemendung berhampiran FELDA Ulu Dengar, Kampung Gajah, Kluang, semalam.

Mangsa, Muhamad Shahrul Nizam Mohamad Shah, 23, dikatakan sesat ketika menuruni gunung berkenaan bersama 15 rakannya pada 1.45 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, 15 rakan mangsa membuat laporan polis pada 1.35 petang, hari ini di Balai Polis Kampung Gajah.

"Susulan laporan itu, kami menubuhkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 15 anggota polis, Jabatan Perhutanan, bomba dan penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dibantu 15 rakan mangsa.

"Hasil siasatan awal, kami dapati 16 pendaki ini mula mendaki gunung itu pada 8.30 pagi semalam.

"Pada 1.45 tengah hari, mereka bergerak menuruni gunung berkenaan namun pada jam 3 petang, mereka sedar mangsa tiada bersama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, rakan mangsa berjaya menghubungi telefon bimbit mangsa dan cuba mencarinya, malangnya mereka gagal menemuinya kerana tidaktahu kedudukan sebenar mangsa.

Katanya, pada 1.35 petang hari ini barulah rakan mangsa membuat laporan polis.

"Kami terpaksa menghentikan SAR pada 6 petang tadi dan akan menyambung semula operasi esok pagi," katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 10:58pm
d