mutakhir

'Hadiah bermakna dalam hidup saya'

Oleh Mohd Wahyuddin Jamil Khair

Kuala Lumpur: “Ini hadiah paling bermakna dalam hidup saya,” kata pemenang hadiah utama peraduan Malaysia Autoshow 2017 anjuran Institut Automotif Malaysia (MAI), Syed Ahmad Azroee Abdullah,30.

Kemenangan itu membolehkan Syed Ahmad menewaskan lima lagi peserta lain dan membawa pulang kereta Peugeot 208 PureTech bernilai RM89,888, pada majlis di Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini, semalam.

Katanya, ini kali pertama dia menyertai pertandingan dan memenangi hadiah kereta.

“Kunjungan saya ke pameran berkenaan untuk melihat pameran kereta dalam dan luar negara di samping membuat pilihan untuk membeli kereta,” katanya yang ditemui media selepas penyampaian hadiah.

Seorang lagi pemenang yang memenangi motosikal Demak Ex90, Cher Hang Boon, 42, berkata, dia sangat terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang.

“Saya seperti tidak percaya selepas saya diumumkan memenangi motosikal.

“Saya singgah ke pameran autoshow itu secara tidak sengaja dan hanya seketika iaitu selama 30 minit ketika dalam perjalanan ke Johor Bahru untuk menguruskan hal pekerjaan,” katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 7:46am
d