mutakhir

Doakan keselamatan adik Khalid Awalid Juzaiman.

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

KANAK-kanak lelaki berusia 12 tahun dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke tali air di Kampung Tok Hakim, Bukit Payung, Marang hari ini.

Khalid Awalid Juzaiman sebelum itu dikatakan bermain air di kawasan berhampiran bersama rakannya berikutan kawasan itu dilimpahi air akibat hujan lebat, jam 9.30 pagi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian jam 9.58 pagi sebelum 11 anggota bersama jentera dan bot bergegas ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Kami masih berusaha mengesan mangsa dan unit skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu turut dikerah ke lokasi,” katanya.

Sementara itu, JBPM Terengganu pada kenyataan menasihati ibu bapa supaya memantau pergerakan anak masing-masing.

“Ibu bapa dinasihati melarang anak bermain atau mandi di sungai selain kawasan dinaiki air kerana arus kuatnya boleh memudaratkan,” katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 1:22pm
d