mutakhir

'Sudah-sudahlah'

Oleh Mohd Nasif Badruddin

DATUK Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tiada niat merendahkan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan meminta maaf jika ada pihak terguris hati dengan kenyataannya.

Setiausaha Agung UMNO itu berkata, apa yang dilakukannya ialah memberi kata-kata motivasi bagi menyedarkan rakyat Malaysia bahawa kerajaan yang memerintah negara selama 60 tahun menjaga keselamatan seterusnya membolehkan aktiviti perniagaan dan pendidikan berjalan dengan baik.

Katanya, beliau kesal kenyataannya disalah tafsir serta diambil kesempatan oleh pihak tertentu bagi melagakannya dengan penuntut dan alumni UiTM.

"Saya sendiri sebenarnya, keluarga saya dan kita semua dapat manfaat daripada UiTM. Ia satu institusi dibangunkan kerajaan untuk membantu orang Melayu.

"Jadi saya harap sudah-sudahlah, tak payah kita nak bising lagi. Kerana saya sedar dan tahu barangkali saya ini bermulut celupar, jadi saya kena berhati-hati.

"Niat saya nak mengingatkan kepada anak saya supaya mereka sedar betapa pentingnya kerajaan yang stabil dan bersatu padu," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur hari ini.

Ketika berucap pada Majlis Anugerah Nadi Negara 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Ahad lalu, Tengku Adnan dilaporkan terlepas cakap dengan mendakwa kewujudan UiTM untuk pelajar kurang cemerlang hingga ia menjadi tular dan mendapat kecaman daripada pelbagai pihak khususnya warga UiTM.

Sementara itu Presiden PAUiTM Datuk Zaini Hassan berkata, pihaknya menerima penjelasan Tengku Adnan dan berharap tiada pihak lain memanjangkan isu itu atas kepentingan tertentu.

Katanya, selepas berbincang dari hati ke hati pihaknya mendapati ucapan Menteri Wilayah Persekutuan itu diputar belit dan disalah tafsir.

Menurutnya, apa yang diperkatakan Tengku Adnan adalah murni dari aspek motivasi dan memberi kesedaran kepada pelajar.

"Saya harap keadaan selepas ini akan reda seperti sedia kala dan saya juga meminta pihak di luar sana jangan lagi main isu ini

"Biar kami 700,000 alumni ini saja selesaikan masalah kami. Kami tidak mahu pihak yang luar di sana tidak ada kaitan dengan kami menggunakan kesempatan ini untuk meraih apa saja kepentingan politik," katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 2:19pm
d