mutakhir

ATM bantu mangsa banjir

Oleh Rosliza Mohamed

SERAMAI 2,517 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan bagi membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata, sejumlah 16 bot tempur, 30 lori tiga tan dan bekalan perubatan juga disediakan untuk tujuan berkenaan.

"Persediaan diselia Markas 8 Briged dan semuanya diatur mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Setakat ini 517 anggota sudah bergerak dan ditempatkan di kawasan yang terjejas di dua negeri bersama 17 pegawai. Sementara 2,000 anggota lagi bersedia untuk sebarang kemungkinan bencana.

"Kita yakin semuanya akan berlangsung baik kerana mereka berpengalaman menghadapi bencana begini," katanya selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 159 penerima di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Ketua Jabatan Hal Ehwal Veteran Malaysia Mejar Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah, Panglima Divisyen Kedua Infantri Mejar Jeneral Datuk Mohd Ramli Jaafar dan Panglima 8 Briged Datuk Nazari Abd Hadi.

Mohd Johari juga berkata, kawalan keselamatan di sempadan negara masih beroperasi seperti biasa meskipun paras Sungai Golok meningkat dan akibatkan limpahan.

"Kawalan bagi operasi di sempadan masih berlangsung walaupun banjir dan kita tidak mahu kegiatan penyeludupan serta pencerobohan berlaku ketika musim ini," katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan pingat kepada veteran tentera yang bertugas menentang Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan pada 1969 hingga 1990.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 3:07pm
d