mutakhir

Tak sempat elak lori ikan

Oleh Zulfa Mohamad

PEKERJA kilang maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh lori ikan yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 126.6 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Kepala Batas, pagi tadi.

Ketika kejadian 5.50 itu, mangsa Abdul Rahman Mahmud, 59, menunggang motosikal Honda dari rumahnya di Sungai Petani untuk ke tempat kerja di Bayan Lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika tiba di tempat kejadian, mangsa tidak sempat mengelak lori yang parkir di lorong kecemasan.

"Pemandu lori berkenaan berusia 34 tahun memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan kerana mengantuk dalam perjalanan pulang ke Sungai Acheh, Nibong Tebal selepas menghantar ikan ke Alor Setar.

"Akibat kemalangan itu, mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Menurut Noorzainy, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 3:14pm
d