mutakhir

Semoga adik Hamimi terus tabah

Oleh Zulfa Mohamad

NOOR Hamimi Ainina Rosdi, 12, murid cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Ara Rendang, Kepala Batas yang kematian bapa ketika dia mengambil keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Khamis lalu dijadikan 'anak angkat' Pusat Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Dia yang meraih 6A turut diberi sagu hati RM1,700 yang diserahkan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Mohd Salleh Man sempena Majlis Penyerahan Sagu Hati Kepada Pegawai Masjid 2017 di Dewan Milenium, Kepala Batas, hari ini.

Noor Hamimi anak sulung daripada dua beradik terkilan kerana tidak sempat berkongsi kejayaan dengan bapanya, Rosdi Zakaria, 54, yang meninggal dunia pada 2.30 pagi di Hospital Seberang Jaya akibat barah hati pada hari sama keputusan UPSR dikeluarkan.

"Saya agak terkilan kerana tidak sempat berkongsi kejayaan dengan bapa. Selama ini dia memberi semangat kepada saya agar belajar bersungguh-sungguh dan seterusnya mengubah nasib keluarga.

"Sebelum ini bapa bekerja sebagai pengawal keselamatan tetapi sekarang kami tiada sumber pendapatan kerana ibu, Wan Noir Laila Wan Awang, 51, suri rumah sepenuh masa.

"Ibu pula merancang untuk bekerja bagi menyara saya dan adik, Noor Khairiah Hanim, 9," katanya.

Noor Hamimi adalah penghuni Inapan Kasih Sayang, Pongsu Seribu di bawah MAINPP dan dia antara empat murid SK Ara Rendang yang mendapat 6A.

"Wang sumbangan zakat akan disimpan untuk diguna apabila ada keperluan termasuk untuk menyambung pelajaran," katanya yang bercita-cita bergelar angkasawan.

Sementara itu, seramai 798 pegawai masjid terdiri dari pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha dan bendahari dari 201 kariah menerima sagu hati membabitkan peruntukan RM398,800.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 3:45pm
d