mutakhir

Tak tidur lena

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

FENOMENA air pasang besar di Kampung Pulau Kundur, Kota Bharu membimbangkan beberapa keluarga yang masih menetap di situ.

Situasi itu kian meruncing terutama musim tengkujuh mula menjengah pantai timur sejak beberapa hari lalu sehingga penduduk tidak dapat tidur lena.

Penduduk, Nik Abdul Aziz Mamat, 62, berkata, fenomena itu mengakibatkan hakisan pantai semakin serius biarpun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri membina tambakan batu untuk menghalang masalah merebak ke rumah.

Katanya, empat hari lalu, dia tidak dapat tidur kerana sekitar 12 tengah malam hingga 3 pagi berlaku air pasang sehingga memasuki rumah.

“Setiap malam saya akan berjaga di pangkin di depan rumah manakala isteri, anak dan cucu tidur di dalam kerana bimbang air naik mendadak berikutan jarak rumah dengan pantai hanya 20 meter saja.

“Barangan rumah seperti perkakas elektrik, perabot dan dokumen penting sudah disimpan di surau berhampiran sebagai persediaan sebarang kemungkinan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Kundur, hari ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati kerja tambakan pasir dan batu sedang giat dijalankan bagi menghalang hakisan lebih teruk berlaku terutama pada musim tengkujuh.

Kebimbangan sama turut disuarakan warga emas, Semah Jusoh, 78, yang sudah menetap di situ lebih 50 tahun bersama keluarganya.

Katanya, masalah hakisan di penempatannya bukan perkara baru kerana setiap kali musim tengkujuh, mereka berasa terancam.

“Kini hanya tiga atau empat keluarga yang masih tinggal di pesisir pantai dan yang lain-lain sudah berpindah kerana rumah mereka musnah pada Januari tahun lalu berikutan air pasang besar.

“Di rumah ini, saya tinggal bersama anak dan menantu serta dua cucu yang berusia 22 dan 26 tahun kerana hanya ini satu-satunya tempat untuk kami sekeluarga berteduh.

“Hujan lebat sejak Ahad lalu disusuli ombak dan air pasang menyebabkan beberapa tiang bawah rumah sudah tercabut,” katanya.

Sementara itu, Che Ghani Ibrahim, 62, berkata, dia sedih melihat kemusnahan pantai akibat hakisan yang berlaku setiap tahun.

“Sebelum ini, penduduk bergotong-royong membina benteng menggunakan guni yang diisi dengan pasir selain menambak batu besar di kawasan terjejas, namun ia tidak dapat selesaikan masalah hakisan pantai.

“Setiap tahun terutamanya musim tengkujuh, penduduk yang masih tinggal di pesisir pantai akan dihantui rasa takut dan bimbang,” katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 4:17pm
d