mutakhir

Doakan Koperal Nik Suhaila Abdullah segera sembuh

Oleh Siraj Mohd Zaini

SEORANG anggota trafik wanita cedera selepas motosikal ditunggangnya dilanggar Proton Saga sebelum dia terbabas dan merempuh belakang lori ais di Kilometer 33.5, Jalan Klang-Banting-Port Dickson, Kuala Langat, hari ini.

Pada kejadian jam 10.45 pagi, Koperal Nik Suhaila Abdullah daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dalam perjalanan ke Bukit Changgang untuk tugasan rasmi.

Turut sama dalam perjalanan itu ialah rakan setugas Nik Suhaila, Lans Koperal Muhammad Ikhwan Mat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, tiba di persimpangan Jalan Telok Bunut di sini, Proton Saga dari arah bertentangan tiba-tiba masuk ke simpang kanan jalan.

“Muhammad Ikhwan yang gagal mengelak terlanggar pintu kiri belakang Proton Saga itu. Pada masa sama, kereta itu melanggar belakang motosikal ditunggang Nik Suhaila menyebabkannya hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar lori ais di tepi jalan.

“Lori ais itu di parkir di tempat parkir di tepi jalan dan sedang menurunkan ais batu kepada pelanggannya,” katanya.

Menurut beliau, Nik Suhaila cedera di kepala, mulut selain tangan kanannya patah manakala Muhammad Ikhwan, pemandu lori dan Proton Saga selamat.

“Kedua-dua motosikal trafik berkenaan rosak. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 5:25pm
d