mutakhir

Berang ditegur warga emas

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

LELAKI warga emas menerima 13 jahitan di belakang badan dan tengkuk akibat ditikam dengan gunting oleh seorang lelaki di Taman JPN 2 Yong Peng, Batu Pahat, 10.45 malam tadi.

Mangsa, Saiman Safar, 65, berkata, dia menegur suspek yang berseorangan di wakaf taman permainan di kawasan berkenaan supaya tidak membuat bising hingga mengganggu jiran dan diminta pulang ke rumahnya.

“Saya mahu keluar minum bersama kawan dan singgah sebentar di taman permainan depan rumah untuk menegur lelaki berkenaan yang berusia sekitar lewat 30-an.

“Saya cakap elok-elok jangan buat bising sebab orang mahu tidur dan minta dia pulang ke rumah, tetapi lelaki berkenaan tiba-tiba menyerang dan menikam belakang badan saya.

“Saya kembali semula ke rumah dengan menunggang motosikal, tetapi suspek mengejar dan menikam di bahagian tengkuk pula.

“Saya menjerit meminta tolong dengan ahli keluarga sebaik tiba di pagar rumah dan lelaki berkenaan melarikan diri,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Beliau berkata, dia menyedari dirinya cedera selepas berlumuran darah ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Yong Peng sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk rawatan lanjut.

“Saya tidak rasa sakit kecuali rasa berdenyut dan hampir pitam. Sebaik tiba di klinik baru saya perasan darah berlumuran pada baju.

“Ini kali pertama saya mengalami kejadian seperti ini dan memang saya tidak sangka akan berlaku kerana sebelum ini saya biasa menegur anak-anak muda yang berpeleseran dan membuat bising tetapi mereka menerimanya” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat Superintendan Mender Singh berkata, suspek berusia 37 tahun berjaya ditangkap dalam serbuan di rumah tidak jauh dari rumah mangsa.

“Sebaik menyedari kehadiran polis suspek terus melarikan diri melalui pintu belakang dan anggota serbuan berjaya menangkap suspek di lorong belakang rumah,” katanya.

Beliau berkata, suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 6:30pm
d