mutakhir

Syukur bomba tolong...

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

PESAKIT buah pinggang kronik yang juga penghidap hepatitis C yang terkandas di rumahnya akibat banjir di Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, hari ini

Pesakit berkenaan, Mohamad Zaki Yahya, 39, dibawa keluar dari rumahnya pada 3 petang.

Mohamad Zaki berkata, dia perlu melakukan rawatan dialisis tiga kali seminggu termasuk hari ini di Hospital Tumpat, namun terkandas selepas halaman rumah dinaiki air sedalam 0.5 meter sejak 5 pagi.

"Pihak Hospital Tumpat menghubungi saya supaya ke hospital untuk rawatan susulan dan saya memaklumkan mereka rumah sudah dinaiki air.

"Saya kemudian memaklumkan kepada bomba. Kemudian pihak bomba menjemput saya di rumah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bapa kepada empat anak berusia antara 10 hingga 17 tahun berkata, dia disahkan menghidap penyakit buah pinggang sejak tiga tahun lalu dan kini tidak mampu melakukan sebarang kerja ekoran cepat letih dan tidak sihat.

Katanya, dia perlu rawatan dialisis mengikut jadual yang ditetapkan hospital kerana tahap penyakitnya sudah kronik.

"Alhamdulillah pihak bomba datang mengambil saya di rumah dan menghantar ke hospital untuk rawatan.

"Jika sebelum ini saya akan memandu sendiri, namun sejak air naik, jalan ke rumah ditutup dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan," katanya.

Menurutnya, dia risaukan keadaan isteri, Siti Ropuan Abdullah, 43, dan empat anaknya yang berada di rumah kerana paras air makin naik.

Katanya, jika air terus naik, mereka sekeluarga akan berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Hussin Abd Rahman berkata, pihaknya menyelamatkan pesakit berkenaan kerana memerlukan rawatan segera.

"Kita akan membantu memindahkan semua mangsa banjir dengan kadar segera demi keselamatan nyawa.

"Pasukan kita bersama anggota penyelamat lain membuat rondaan selama 24 jam," katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 7:35pm
d