mutakhir

Tragedi pokok tumbang

Oleh Rohaida Omar

LAPAN sekeluarga yang sedang tidur, nyaris maut apabila rumah mereka dihempap pokok beringin berusia lebih 100 tahun di Jalan Geale, Kuala Krai, pagi tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian 2 pagi itu, Asmadi Yusoff, 53, bersama ahli keluarganya tidak mengalami kecederaan selepas pokok terbabit menghempap dapur rumah.

Menceritakan detik cemas, Asmadi berkata, ketika kejadian dia bersama ahli keluarganya sedang tidur dan ketika itu hujan lebat dan angin kencang.

"Secara tiba-tiba, kami dikejutkan dengan satu dentuman kuat dan rumah bergegar. Saya ingatkan gempa bumi.

"Saya dan isteri, Nurizan Harun, 49 segera bergegas bangun dan meninjau keadaan rumah sebelum mendapati bumbung dan dinding bahagian dapur runtuh dan pecah teruk.

"Isteri kemudian bergegas keluar dan terkejut melihat pokok beringin berhampiran rumah tumbang dan menghempap bahagian dapur," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, dia bersyukur keluarga terselamat dalam kejadian itu.

"Kini, kerja kerja memotong pokok dilakukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai dan dibantu kakitangan Majlis Daerah Kuala Krai.

"Untuk sementara waktu, saya perlu mencari rumah sewa kerana keadaan rumah yang sudah tidak selamat untuk diduduki," katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 7:48pm
d