mutakhir

Pelajar cemerlang lemas

Oleh Mohammad Ishak

Pelajar yang baru sahaja selesai menduduki kertas terakhir Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semalam, lemas selepas tergelincir ketika melintasi jambatan di Kampung Bukit Payung, Jertih, petang tadi ini.

Mangsa, Zulfaiz Zukarmi, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong yang keluar bermain air bersama rakannya ditemui di sungai kira-kira 150 meter dari rumahnya.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa bersama enam rakan lain sedang melintasi jambatan di kampung itu sebelum dia tergelincir.

Datuknya, Hashim Seman, 61, berkata, sebelum kejadian cucunya itu beberapa kali meminta izin untuk keluar bermain air bersama rakan.

"Saya melarangnya selepas dia beritahu tidak pandai berenang tetapi arwah terus merayu hingga saya mengalah dan memberi izin kepadanya,” katanya.

Menurutnya, tidak lama selepas itu dia diberitahu yang cucunya dihanyutkan air selepas tergelincir ketika melalui jambatan yang sudah dinaiki air.

"Mayatnya ditemui anak saya yang juga bapa saudaranya tidak jauh dari tempat dia tergelincir," katanya ketika ditemui di Hospital Besut, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Besut, Abdul Halim Hassan berkata, berdasarkan rekod pihaknya mendapati Zulfaiz adalah pelajar cemerlang sekolahnya dan meraih 10A ketika Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Menurutnya, remaja itu juga menjadi pelajar harapan sekolah berkenaan untuk mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mayat remaja berkenaan dibawa ke Hospital Besut untuk proses bedah siasat.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 8:28pm
d