mutakhir

Projek MRT3 tiada kaitan dengan pembatalan BRT

Oleh Idris Musa

Kuala Lumpur: Cadangan projek MRT 3 tiada kaitan dengan keputusan kerajaan membatalkan projek Bus Rapid Transit (BRT) Kuala Lumpur - Klang yang diumumkan baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini kerana kedua-duanya adalah dua projek berbeza dari segi koridor atau kawasan, jajaran dan sasaran cakupan penduduk.

Menurutnya, pembatalan itu diputuskan selepas penelitian terperinci ke atas cadangan projek berkenaan serta projek infrastruktur pengangkutan awam lain di Greater Kuala Lumpur/Klang Valley (GKLKV) mendapati ia akan bertindih dengan cadangan projek LRT 3.

“Cadangan projek LRT 3 meliputi laluan Bandar Utama ke Johan Setia di Klang melalui Glenmarie, Shah Alam dan Bandar Klang.

“Dalam hal ini, bukanlah ia bermakna cadangan projek BRT KL-Klang tidak memberi manfaat.

“Namun penelitian yang dijalankan mendapati projek LRT 3 memberi impak besar daripada projek BRT itu,” katanya menjawab pertanyaan Dr Ong Kian Ming (DAP-Serdang) berkenaan pembatalan projek BRT itu pada persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.

Menurutnya, cadangan LRT 3 diberi keutamaan selepas mengambil kira faktor laluan yang merangkumi kawasan tiada capaian kepada mana-mana perkhidmatan rel bandar.

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 6:52am
d