mutakhir

Sukar bernafas

Oleh Sarah Zulkifli

Shah Alam: Mahkamah Tinggi di sini, diberitahu bahawa lelaki warga Korea Utara Kim Chol atau abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-nam mengalami kesukaran untuk bernafas yang seterusnya menyebabkan kepada punca kematiannya.

Pegawai Perubatan Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Nur Suraya Jamalludin, 33, berkata, perkara itu berlaku berikutan paras enzim cholinesterase yang mengawal pergerakan otot Kim Chol amat rendah.

Saksi ke-22 pendakwaan yang mengesahkan keputusan ujian cholinesterase terhadap mangsa itu berkata, kekurangan enzim terbabit akan menyebabkan paru-paru seseorang individu mengeluarkan bunyi ‘berdehit’.

Nur Suraya yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada sesi pemeriksaan utama, berkata, melalui hasil keputusan ujian yang diperoleh pegawai sains jabatan sama, beliau mengesahkan bahawa paras enzim cholinesterase Kim Chol berada pada paras tidak normal iaitu 344 unit per liter.

“Enzim cholinestrase berperanan menjaga keseimbangan pengecutan dan pengenduran otot serta kawalan kelenjar,” katanya.

Menjawab soalan Wan Shaharuddin sama ada paras rendah enzim berkenaan mengganggu otot mangsa, saksi itu menjawab, “Ya.”

Menurut saksi itu, enzim berkenaan akan menghidrolisiskan choline yang berada di sektori hujung saraf supaya pengenduran berlaku dan ia boleh berada dalam keadaan rileks selepas mengecut.

“Jika paras enzim itu rendah, pengecutan akan berterusan dan seseorang mengalami kesukaran bernafas.

“Ia juga menyebabkan pengecutan salur pernafasan dan pengeluaran banyak lendir di salur pernafasan menjadikan pernafasan lebih sukar yang membawa kepada kematian,” katanya.

Nur Suraya berkata, selepas mengesahkan keputusan enzim cholinesterase Kim Chol, beliau kemudian menyerahkan keputusan itu kepada pegawai atasannya iaitu Pakar Patologi Kimia HKL Dr Norashikin Othman.

Sementara itu, Pegawai Sains Forensik HKL Lai Phoh Soon, 31, yang mengendalikan spesimen darah Kim Chol memberitahu mahkamah bahawa beliau menjalankan proses mengempar darah bagi mendapatkan serum untuk dianalisis.

“Serum itu kemudian dimasukkan ke dalam botol dan dilabel dengan nama si mati serta diserahkan kepada Pegawai Sains di Jabatan Patologi HKL Nurulhuda Kaidar atas arahan Juru Perunding Kanan dan Ketua Jabatan Perubatan Forensik HKL Dr Mohd Shah Mahmood pada 16 Februari lalu,” katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 7:20am
d