mutakhir

Penemuan almari peribadi bongkar rahsia

Oleh Nordiana Shafiee

Alor Setar: Penemuan almari peribadi di sebuah pusat hiburan di Taman Bandar Baru, Mergong, di sini, membawa kepada penahanan lapan wanita Thailand dalam Op Gegar, awal pagi semalam.

Dalam operasi oleh anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri, seramai 34 pengunjung termasuk pekerja di pusat hiburan diperiksa.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri Zuhair Jamaludin berkata, dalam pemeriksaan berakhir jam 1.15 pagi, lapan wanita Thailand berusia 19 hingga 31 tahun ditahan selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Menurutnya, mereka dipercayai melanggar syarat pas dengan bekerja di pusat hiburan.

“Ketika pemeriksaan, semua wanita itu leka melayan pelanggan tanpa menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, malah kita sudah mengepung sekeliling premis.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh dalam pusat hiburan itu kita menjumpai almari peribadi lapan wanita warga asing dipercayai disediakan untuk mereka yang bekerja di sini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, dua lelaki terdiri warga tempatan dan warga Thailand berusia 33 dan 29 tahun turut ditahan.

Menurutnya, lelaki Thailand itu ditahan kerana melakukan kesalahan imigresen dengan menjadi penjaga kepada wanita berkenaan manakala lelaki tempatan pemilik premis yang didapati melindungi warga asing yang melanggar peraturan imigresen.

Beliau berkata, semua yang ditahan disiasat mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 56(1)(d) akta sama.

“Mereka ditahan di lokap imigresen untuk siasatan sebelum sembilan warga Thailand itu dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik,” katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 7:25am
d