mutakhir

'Masyuk' kalau rajin [METROTV]

Oleh Nazdy Harun

PERMINTAAN tinggi kepada ikan darat pada musim tengkujuh membolehkan seorang penduduk Kampung Pengkalan Ajal, Kuala Berang di sini, meraih pendapatan sehingga RM400 sehari dengan menjual ikan sungai.

Mazlan Jaffar, 52, berkata, dia akan memukat di lubuk ikan di sekitar Sungai Berang setiap kali musim tengkujuh.

Menurutnya, pelbagai spesis ikan seperti lampam dan baung diperolehnya dijual pada harga RM15 hingga RM20 sekilogram.

“Saya memukat ikan sungai sejak remaja dan kini dibantu anak saudara.

“Setiap hari, ketika musim tengkujuh iaitu ketika air sungai mula melimpah, saya akan menggunakan bot gentian kaca pada waktu pagi untuk memasang pukat, tengah hari dan petang pula masa memungut ikan,” katanya.

Mazlan yang juga peniaga ikan berkata, musim tengkujuh bukannya masa untuk goyang kaki malah aktiviti menangkap ikan menjadi sumber pendapatan tambahannya.

“Syukur kerana saya mampu meraih pendapatan antara RM300 hingga RM400 sehari pada musim tengkujuh ini,” katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 11:36am
d