mutakhir

TNB Kelantan nafi tular video banjir

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

TENAGA Nasional Berhad (TNB) Kelantan menafikan tempat letak kereta di pejabatnya di Jalan Tok Hakim, Kota Bharu dilanda banjir ekoran video dan gambar tular di laman sosial facebook dan WhatsApp, semalam.

Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) TNB Kelantan, Datuk Ir Yuslan Yusof berkata, tempat letak kereta TNB tidak banjir seperti ditularkan.

Katanya, video dan gambar tersebar itu adalah kejadian banjir kilat Mei lalu di kawasan tempat letak kereta TNB dinaiki air setinggi 0.5m

"Semalam, tempat letak kereta dimasuki air hujan separas 0.2m memandangkan hujan lebat dan air masuk dengan laju.

"Kita minta orang ramai tidak terus menyebarkan gambar dan video itu tanpa mendapatkan pengesahan terlebih dahulu kerana boleh menimbulkan kerisauan kepada masyarakat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tinjauan Harian Metro di tempat letak kereta TNB mendapati kawasan itu kering dan tidak dimasuki air walaupun hujan lebat.

Pada masa sama, Yuslan menasihatkan mangsa banjir menutup suis utama jika rumah mereka dinaiki air.

"Sebelum berpindah, kita minta penghuni memastikan suis utama ditutup bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

"Begitu juga selepas mereka pulang ke rumah perlu membuat pemeriksaan terhadap suiz utama dengan mendapat bantuan daripada kontraktor berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga," katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 3:25pm
d