mutakhir

Lima sekawan berebut nak ke tali gantung [METROTV]

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang menahan tiga lelaki dan dua wanita serta merampas pelbagai jenis dadah dibungkus dalam paket minuman tiga dalam satu, wang tunai, barangan kemas dan kenderaan mewah bernilai lebih RM830,000 pada serbuan di sebuah pangsapuri di Butterworth Isnin lalu.

Serbuan jam 6.45 pagi membabitkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hasil maklumat awam serta risikan.

Pemangku Ketua Polis negeri Datuk Roslee Chik berkata, suspek berusia 23 tahun hingga 32 tahun kini direman bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan dalam rumah itu menemui dadah termasuk serbuk ketamin dan ekstasi bernilai RM349,260.

“Kami menyita wang tunai RM6,500, Mercedes Benz, BMW, Toyota Vios dan Toyota Altis. Turut dirampas rantai leher serta tangan dan 10 cincin bernilai RM475,118,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang, hari ini.

Menurut beliau, suspek terbabit dengan kegiatan itu sejak tiga bulan lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori.

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 3:32pm
d