mutakhir

Tiba-tiba je mati

Oleh Mohamad Yatim Latip

PENTERNAK kerugian RM5,000 selepas dua ekor lembu miliknya ditemui mati secara tiba-tiba dalam kejadian berasingan di Kampung Kandang, Melaka Tengah, semalam dan kelmarin.

Abd Rahim Ithnin, 36, berkata, dia melakukan pemeriksaan sendiri kerana curiga dengan kematian mengejut lembu berusia setahun dan tiga tahun itu, namun gagal menemui sebarang petunjuk sebelum membuat laporan kepada Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Melaka (JPHNM).

"Timbul pelbagai andaian kenapa dua daripada 10 ekor lembu saya itu mati. Mungkin dipatuk ular, termakan rumput beracun atau perbuatan khianat pihak kurang senang dengan saya.

"Saya percaya lembu itu mati sekitar 2 atau 3 pagi kerana bangkainya ditemui dalam keadaan baik," katanya ketika ditemui di ladang ternakannya, hari ini.

Sementara itu, jurucakap JPHNM berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian dua ekor haiwan ternakan itu sebelum mengambil tindakan lanjut.

Sebagai langkah berjaga-jaga, JPHNM menasihatkan penternak lain supaya memastikan kandang masing-masing dalam keadaan bersih dan ternakan diberikan suntikan vaksin bagi mengelakkan daripada mudah dijangkiti virus.

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 3:53pm
d