mutakhir

'Longkai' tak puas hati

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SERAMAI 100 pekerja trak tunda atau 'longkai' sekitar Kuala Lumpur dan Selangor berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membuat laporan polis dan membantah kenyataan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bertajuk 'Callman Raja Jalanan' yang didakwa berat sebelah serta berunsur fitnah.

Dalam kenyataan dikeluarkan dan ditularkan di media sosial sejak petang semalam, PPIM mendakwa kumpulan 'callman' meminta duit kepada pemilik kenderaan sekiranya ingin bertukar ke bengkel lain.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa pemilik kenderaan dikenakan caj ribuan ringgit apabila ingin mengambil kenderaan mereka.

Wakil komuniti trak penunda, Khairul Husni Othman berkata, kenyataan dikeluarkan PPIM itu tidak berasas dan menjejaskan periuk nasi mereka yang mencari rezeki halal dengan ikhlas.

Katanya, dakwaan itu berniat jahat, mendatangkan kebencian dan kecaman kepada kumpulan pekerja trak tunda.

"Kami faham PPIM menjalankan tugas menegakkan keadilan bagi orang ramai, tapi sepatutnya mereka mendengar daripada kedua-dua pihak dan bukan berpandukan aduan sebelah pihak.

"Kalau mahu dengar suara sebelah pihak saja, jadi mana keadilan bagi pihak yang dituduh," katanya.

Sehubungan itu, tiga laporan polis dibuat komuniti trak tunda membabitkan tuduhan berat sebelah dan satu laporan oleh seorang pekerja trak tunda yang dituduh mengenakan bayaran ribuan ringgit kepada seorang pemilik kenderaan.

Pekerja trak tunda terbabit, Muhamad Alifzuddin Zamri, 22, berkata, tuduhan itu bermula apabila seorang pemilik kenderaan yang terbabit kemalangan pada 10.30 malam, 18 November lalu di depan IOI City Mall Putrajaya mendakwa bahawa dia melakukan peras ugut dengan meminta wang RM1,200.

Katanya, sebenarnya isu itu tidak timbul kerana pemilik kenderaan sudah menandatangani surat kebenaran untuk menunda keretanya yang rosak malah bayaran yang dikenakan pula hanya RM500 saja.

“Ketika hari kejadian, kami sudah sama-sama bersetuju namun masalah terjadi beberapa hari kemudian apabila pemilik kenderaan tidak mahu membayar jumlah dipersetujui.

"Saya tidak boleh terima apabila dimalukan di media sosial sedangkan saya menjalankan kerja mengikut undang-undang," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis berkenaan.

Berita berkaitan

'Longkai makin naik lemak'

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 6:20pm
d