mutakhir

Biawak celah enjin [METROTV]

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

KAKITANGAN Mahkamah Tinggi Alor Setar terkejut apabila diberitahu seekor biawak sepanjang satu meter dan seberat 3.5 kilogram 'bersembunyi' di dalam enjin Nissan Almera miliknya hari ini.

Difahamkan kejadian disedari beberapa pekerja pembersihan di kompleks itu kira-kira 11.30 pagi sebelum memaklumkan pemilik kereta terbabit, Md Saad Abd Raof, 46, yang menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sepasukan lima pegawai dan anggota APM Kota Setar yang dihubungi kemudiannya mengambil masa lebih 10 minit bagi mengeluarkan reptilia itu.

Pegawai APM Kota Setar, Sarjan (PA) Md Redza Md Rais berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.47 pagi dan bergegas ke lokasi.

Katanya, reptilia itu memasuki enjin kereta untuk mencari tempat selamat selepas terasa terancam dengan kehadiran manusia.

"Kami berhati-hati untuk mengeluarkan biawak memandangkan bahagian enjin kereta terlalu sempit.

"Biawak ini agak agresif namun berjaya ditangkap menggunakan penjerut dan cangkuk," katanya.

Katanya, reptilia itu di bawa ke pejabat APM Kota Setar sebelum dilepaskan ke habitat asal.

Sementara itu, seorang pekerja pembersihan, Abu Hassan Murad, 65, berkata, biawak itu muncul ketika dia bersama rakan membersihkan pokok hiasan berhampiran pintu masuk kompleks itu.

"Saya tidak tahu biawak itu datang dari mana, tiba-tiba ia menyelinap dalam rimbunan pokok hiasan di hadapan saya.

"Ketika itu rakan saya memangkas daun pokok itu, saya pula membersihkan daun. Sebaik dihampiri, tiba-tiba biawak itu meluru keluar ke arah tepi mahkamah," katanya.

Katanya, dia tidak tahu apa berlaku selepas itu, sebelum dimaklumkan reptilia itu masuk ke bahagian enjin kereta.

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 7:41pm
d