mutakhir

PSM cadang gaji minimum RM1,500

Oleh Nursyahirah Marzuki

PARTI Sosialis Malaysia (PSM) mendesak kerajaan supaya mengkaji semula penetapan gaji minimum sebanyak RM1,500 sebagai amaun baru yang perlu diputuskan kerajaan tahun depan selaras perkembangan sosio ekonomi semasa negara.

Ketua Biro Pekerja PSM M Sivaranjani berkata, kajian semula amaun gaji minimum perlu dilakukan setiap dua tahun seperti yang diperuntukkan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN).

"Sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula dan menetapkan kadar gaji minimum baru selaras dengan perkembangan sosio ekonomi semasa negara.

"Oleh itu, PSM mencadangkan RM1,500 sebagai gaji minimum baru yang perlu ditetapkan bagi Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Pelaksanaan Gaji Minima RM1,500 bersama MPGN yang dipengerusikan oleh Setiausaha Majlis Perundingan Gaji Negara,T Shanmugam di Putrajaya, hari ini.

Sivaranjani berkata, gaji minimum baru pada tahun lalu ditetapkan sebanyak RM1,000 di Semenanjung manakala, RM920 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa majikan terutama di sektor swasta tidak melaksanakan gaji minimum seperti ditetapkan oleh pihak kerajaan.

"Jumlah gaji minimum yang dicadangkan PSM dilihat sesuai dengan kos sara hidup yang semakin meningkat selain dapat membantu mengurangkan hutang isi rumah rakyat," katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Muttalib berkata, kerajaan akan mengkaji semula perintah gaji minimum selaras dengan peruntukan Akta Perlindungan Gaji 2011 (Akta 732) dan akan dilaksanakan pada tahun depan.

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 9:38pm
d